Konsert di Singapura dan Perkembangan semasa (2012-2016) Search

Pada tarikh 28 Januari 2012, D’Touchz International membawa SEARCH & XPDC "LIVE" IN SINGAPORE 2012, di Stadium Tertutup Singapura. Lokasi yang pernah berlangsungnya konsert band-band Rock / Heavy Metal internasional seperti Iron Maiden, Metallica mahupun No Doubt itu. Yang menarik mengenai konsert itu adalah ianya merupakan buat pertama kalinya Search dan XPDC bergabung dalam satu konsert di negara repablik itu.Nilai-nilai sentimental yang dapat dilihat di sini adalah kedua-dua Lola dan Yan turut pernah menyertai Search serta XPDC yang membariskan kedua vokalisnya iaitu Mael & Ali dan dua pemain bess Yan & Zuar serta 2 pemain drum Amy & Lola. Gitaris Izo pula dibantu oleh anak lelaki Izo sendiri.

Pada 16 April 2012, sempena meraikan 30 tahun kumpulan Search, Hooray Marketing Sdn Bhd berkolaborasi bersama Search untuk mengeluarkan semua 101 buah lagu daripada album pertama hingga yang terakhir bersama satu bonus track " Kejoraku Bersatu" dan kesemuanya ini terkandung dalam format MP3 bersama keluaran khas gajet MP3 dibawah label Search.Dengan rekaan yang begitu klasik iaitu berbentuk tape kaset ia lengkap bersama headphone, charger dan remote sebagai hadiah khas berbentuk box set untuk peminat Search dan kesemua lagu ini menjalani proses master semula. Search telah membuat pemilihan 101 lagu bersama-sama yang merangkumi hampir semua lagu hit mereka yang diambil daripada album pertama, Cinta Buatan Malaysia sehingga yang terkini, Gothic Malam Edan, penghasilan MP3 yang turut mengandungi temu bual bersama anggota Search serta komposer yang telah menaikkan nama mereka hasil ciptaan untaian lagu hebatnya iaitu Datuk M. Nasir itu memberi signifikan tersendiri buat Search. MP3 ini hanya dihasilkan sebanyak 5000 unit dan dijual dengan harga RM333.00 setiap satu set.

Setelah menjelajah seluruh Malaysia melalui siri Konsert Double Trouble dengan kumpulan Wings bermula tahun 2010-2011, akhirnya pada 12 Oktober 2012 telah berlangsung Konsert Double Trouble Live in Singapore di Singapore Indoor Stadium. Konsert yang dianjurkan oleh Live! Empire ini telah mendapat sambutan yang hangat daripada peminat kedua-dua buah kumpulan di Kota Singa. Enam set persembahan secara keseluruhannya mengandungi lebih kurang 30 buah lagu yang dipersembahkan mereka pada malam bersejarah itu. Antara lagu yang dibawakan oleh Search pada malam konsert adalah seperti Mentari Merah Di Ufuk, Timur Gothik Malam Edan, Diari Habil Dan Qabil, No Way, Isi Atau Kulit, Cakap Memang Murah, Isabella, Pelesit Kota, Pawana dan diselitkan juga persembahan gitar solo oleh Kid dan drum solo oled Yazit.

Pada 7 April 2013, Search telah terpilih menerima Anugerah Sepanjang Hayat sempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 anjuran akhbar Berita Harian, Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat diberikan kepada kumpulan Search sebagai mengiktiraf sumbangan dan jasa mereka dalam bidang muzik selama 32 tahun. Dalam majlis ini hanya empat orang anggota Search ( Kid, Din, Nasir dan Yazit) sahaja yang hadir menerima anugerah, manakala Amy tidak dapat hadir kerana berada di luar negara. Namun begitu, Amy telah menyampaikan ucapan menerusi rakaman video yang telah dibuat awal sebelum itu.

Konsert yang dibawakan oleh Soundchek Pte. Ltd. ini diadakan di The Star Performing Arts Centre - The Star Theatre. Acara istimewa ini telah diberi nama"Acoustica Malam Edan Search”.  idea untuk menggunakan “Acoustica Malam Edan Search” telah diilhamkan oleh anggota Search sendiri dan ianya telah dipersetujui oleh pihak penganjur kerana ianya sebuah jenama yang cukup eksklusif dan penuh maksud tersirat. Edan yang bermaksud “perfect” dalam bahasa "hebrew" atau lebih difahami dalam bahasa ibrani, membawa suatu makna yang bermaksud “sempurna”, jadikan ia satu era yang sempurna pada malam edan akustik itu nanti. Dalam bahasa indonesia pula “edan” juga diberi maksud “biul" atau "gila”, dijadikan suatu malam yang sama-sama menggila pada malam konsert tersebut. Konsert ini juga itu tidak hanya dijayakan oleh mereka berlima sebaliknya turut disempurnakan oleh tiga pemuzik undangan terdiri daripada Zul Mahat, Aznan Alias dan Firdaus yang bertindak selaku pengarah konsert selain tiga pemuzik undangan, empat pemain string dan penyanyi latar yang rata-rata berpengalaman besar dalam konsert seperti ini.

Malam itu Search mendendangkan hampir 20 buah lagu untuk peminat mereka. Tidak hanya memilih lagu-lagu yang popular semata-mata sudah pasti terselit beberapa buah lagu yang jarang dimainkan tetapi besar maknanya. Paling tidak secara eksklusifnya lagu Satu Bangsa Satu Arah dan Pembakar Perasaan dimainkan untuk memenuhi halwa telinga peminat. Selain itu lagu lain yang turut dimainkan termasuklah Gadisku, Rozana, Bisa, Fenomena, Pawana dan Isi Atau Kulit yang membuai perasaan. Menutup persembahan pada malam itu, Search telah membawa lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur dan Meniti Titian Usang.

Setelah bertahun-tahun menanti peluang untuk beraksi di pentas Istana Budaya, akhirnya impian itu terjelma menerusi Konsert Search Live In Istana Budaya pada 4-7 Disember 2014. Konsert anjuran Urban Creative Synergy (UCS) Sendirian Berhad dengan kerjasama Istana Budaya ini merupakan satu penghargaan Search kepada para peminat setianya yang sentiasa berharap Search akan beraksi di pentas berprestij ini. Konsert ini juga menjadi satu rekod sejarah kerana tiket konsert ini merupakan yang termahal untuk sesebuah kumpulan muzik beraksi di Istana Budaya. Tiket untuk konsert ini bermula daripada RM 109 dan yang paling mahal berharga RM 799.00. Selain menampilkan kelainan apabila diiringi kumpulan Paladin yang terdiri daripada lima pemain cello, Search tampil 'back to basic' di mana Kid dan Noordin selaku tunjang muzik Search sebagai pemain gitar, Nasir di posisi bass dan pastinya Amy sebagai penyanyi. Dalam persembahan sulung mereka di pentas berprestij itu, Search turut dibantu pemain dram Projek Pistol, Pae yang menggantikan Yazit dan pemain keyboard undangan Firdaus. Secara keseluruhannya, Search mempersembahkan 21 lagu termasuk Kejora, Rozana, Fantasia Bulan Madu, Isi Dan Kulit, Isabella, Gadisku, Diari Habil & Qabil, Gothic Malam Edan, No Way, Fenomena, Kereta Merah, Menuju Puncak, Honky Tong Kosong dan Pelesit Kota, dan Pawana. Pemain drum Search, Yazit yang uzur ketika konsert ini berlangsung juga muncul dalam satu segmen khas dengan memainkan beberapa lagu Search dan kemunculan Yazit sangat bererti kepada Search dan para peminat setianya. Selain itu kehebatan Search juga terbukti apabila tiket untuk keempat-empat malam persembahan Tiket Habis Dijual dan konsert ini mencatat kutipan tertinggi untuk kesemua persembahan di Istana Budaya (IB) sepanjang tahun 2014.

Rujukan

WikiPedia: Search http://www.budiey.com/gambar-search-di-sidang-medi... http://news.google.com/newspapers?id=-ZcWAAAAIBAJ&... http://news.google.com/newspapers?id=5NwxAAAAIBAJ&... http://news.google.com/newspapers?id=GRAWAAAAIBAJ&... http://news.google.com/newspapers?id=LLYTAAAAIBAJ&... http://news.google.com/newspapers?id=RbsTAAAAIBAJ&... http://news.google.com/newspapers?id=SboTAAAAIBAJ&... http://news.google.com/newspapers?id=kFAeAAAAIBAJ&... http://news.google.com/newspapers?id=m7gTAAAAIBAJ&... http://news.google.com/newspapers?id=peYVAAAAIBAJ&...